Wanita sarat mengandung maut dalam perjalanan ke hospital

SUNGAI PETANI - Seorang wanita sarat mengandung dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, terlebih dahulu, mangsa berusia 35 tahun, yang sedang mengandung anak kedua dikatakan pengsan di rumahnya dekat Taman Universiti Jaya, Semeling,
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu, pada jam 5.57 petang daripada petugas zon merah Jabatan Kecemasan HSAH memaklumkan wanita itu dan kandungannya sudah meninggal dunia.
"Bagaimanapun, mangsa dikatakan sempat mengadu sakit kepada suaminya mengatakan rasa seperti sudah sampai masa mahu bersalin sebelum tiba-tiba pengsan.
"Suami mangsa terus menghubungi ambulans dan sewaktu dalam perjalanan ke HSAH, mangsa tidak memberi sebarang tindak balas. Dia disahkan telah meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, wanita terbabit tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan.
Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Kuala Kurau, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

