Perjuangan rakyat Palestin perlu disokong tanpa berbelah bahagi - PUM

Suara Malaysia bersama kekuatan umat Islam dunia mampu mengubah naratif dan membebaskan Palestin.
Suara Malaysia bersama kekuatan umat Islam dunia mampu mengubah naratif dan membebaskan Palestin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza perlu diteruskan dengan komitmen sepenuhnya, tanpa sebarang kompromi sebagai tanda solidariti kemanusiaan dan tuntutan keadilan yang tidak boleh diketepikan.

Setiausaha Agung, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, keadaan rakyat Palestin yang terus dibom secara kejam oleh rejim Zionis amat getir dan memerlukan perhatian serta tindakan segera daripada seluruh dunia.

Mohd Roslan
Mohd Roslan

“PUM mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam rakyat Gaza yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis.

“Perjuangan mereka untuk mempertahankan tanah air dan hak mereka adalah perjuangan yang adil serta wajar disokong dengan segala cara yang mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia menyeru dunia Islam supaya segera bangkit membela rakyat Palestin dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada terus dicemari pencerobohan rejim Zionis.

Susulan seruan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, satu perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) akan diadakan segera bagi meneliti secara mendalam fatwa berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, kenyataan daripada kesatuan tersebut yang dikeluarkan kepada negara Islam untuk memberikan bantuan termasuk melalui kekuatan ketenteraan, tidak boleh dipandang remeh.

Menurutnya, seruan berkenaan jelas menunjukkan betapa mendesaknya keperluan untuk membela rakyat Gaza yang kini berada dalam keadaan yang amat memerlukan pertolongan dan pembelaan.

Artikel Berkaitan:

“Negara Islam tidak seharusnya hanya menjadi pemerhati, tetapi perlu memainkan peranan aktif dalam menghentikan keganasan dan memberikan bantuan yang sewajarnya.

“PUM juga melihat sokongan berterusan rakyat di negara barat yang turut menyuarakan sokongan kepada perjuangan Palestin sebagai satu perkembangan yang menempelak keangkuhan kuasa barat yang masih menyokong kezaliman rejim Zionis.

“Oleh itu, tidak seharusnya ada seorang pun rakyat di negara Islam yang memandang sinis atau acuh tidak acuh terhadap perjuangan suci rakyat Palestin ini,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agar segala usaha menyokong perjuangan rakyat Palestin diteruskan dengan gigih, sehingga mereka mencapai kemenangan dan keadilan yang diperjuangkan.

“Marilah kita bersama-sama berdiri teguh di belakang saudara kita di sana,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!