Cukai jalan mati kesalahan tertinggi Op Aidilfitri

KOTA BHARU - Cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh menjadi kesalahan tertinggi dengan jumlah notis saman sebanyak 402 direkodkan pada Op Khas Hari Raya Aidilfitri di negeri ini tahun ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa selama 15 hari bermula 24 Mac lalu itu mencatatkan sebanyak 8,370 kenderaan diperiksa.

Op menyasarkan tujuh kesalahan iaitu tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menghalang daripada memotong, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit.
“Hasil daripada pemeriksaan ini, 1,759 kenderaan dikenakan tindakan dan 2,941 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“LKM tamat tempoh menjadi kesalahan tertinggi dengan jumlah notis saman sebanyak 402 notis dan tindakan sita diambil ke atas empat kenderaan,” katanya kepada pemberita sempena hari terakhir Op Khas Hari Raya Aidilfitri di sekatan jalan raya di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pada operasi sama, sebanyak 14 trip penyamaran melibatkan bas ekspres dilaksanakan dan hasil daripada pemantauan yang dijalankan, sebanyak 12 notis dikeluarkan kepada pemandu bas
yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas terutama memandu secara berterusan di lorong kanan.
“Selain itu, pemeriksaan yang dijalankan di terminal bas merekodkan 12 notis dikeluarkan kepada pemilik bas, manakala 10 notis lagi dikeluarkan melalui kaedah pemantauan strategi 'covert' dan 'overt'.
“Kali ini, 121 orang pemandu bas menjalani saringan ujian air kencing, dan kesemua mereka didapati bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan itu amat positif berbanding tahun lepas dengan 130 pemandu bas disaring dan dua daripadanya positif dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

