[VIDEO] 'Flash Mob' aman tanda solidariti terhadap rakyat Palestin
KUALA TERENGGANU - Sekumpulan individu mengadakan 'Flash Mob' secara aman di Bulatan Batu Bersurat, Ladang, di sini, sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
Pendakwah bebas, Ahmad Muzani Abd Rahman berkata, himpunan itu tidak dianjurkan oleh mana-mana kumpulan, sebaliknya merupakan inisiatif sendiri bagi menyampaikan mesej jelas kepada masyarakat agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza.
"Kami individu yang ada kesedaran mengenai apa yang berlaku di bumi Al-Quds (Baitulmaqdis) mengadakan Flash Mob (demonstrasi) secara aman sebagai tanggungjawab sesama Islam.
"Kita orang Islam kena ingat, kita ada keistimewaan iaitu Islam tidak terbatas, dan siapa sahaja yang namanya Islam, saat disakiti mesti semua umat Islam merasa sakit.
"Jadi kami tak boleh bantu dengan cara lain, paling tidak kami zahirkan rasa sedih dan pilu di saat umat Islam di bumi Al-Quds dibantai, dijarah, dibunuh dan 'dirogol' maruahnya tanpa belas kasihan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada petang Isnin.

Jelasnya, himpunan itu juga diadakan bagi menyahut fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia baru-baru ini berhubung situasi tragik dan berterusan di bumi Gaza.
Katanya, usaha berterusan seperti memboikot produk keluaran Israel dan sekutunya perlu diteruskan bagi melumpuhkan ekonomi yang menjadi tunjang kekuatan rejim Zionis dalam meneruskan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Sebelum ini, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia menyeru seluruh dunia Islam untuk bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka membela rakyat Palestin serta mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada terus dicemari oleh pencerobohan rejim Zionis.
Rentetan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) akan diadakan segera bagi meneliti secara mendalam dan menyeluruh fatwa tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
