Suami tinggal isteri, bayi 4 bulan di masjid ketika pulang beraya

JAKARTA – Seorang wanita dikenali sebagai Dede Ruyanti bersama bayinya yang baru berusia empat bulan tular di media sosial selepas ditinggalkan suaminya ketika dalam perjalanan pulang beraya ke kampung halaman di Ciamis.
Kejadian berlaku di Masjid Kaum Ciawi, Tasikmalaya, Jawa Barat apabila suaminya, Ade Candra Gunawan secara sengaja meninggalkan Dede dan anak mereka tanpa sebarang penjelasan.
Pada awalnya, Dede menyangka bahawa suaminya terlupa akan kehadiran mereka selepas singgah di masjid tersebut, namun siasatan mendapati tindakan itu dilakukan dengan sengaja oleh Ade.
Lebih memilukan, apabila Dede dan anaknya dihantar pulang ke rumah Ade namun dikatakan suaminya enggan menerima mereka pada awalnya.
Menurut pihak berkuasa, Ade Candra Gunawan merupakan warga Pangalengan, Kabupaten Bandung dan telah berkahwin secara rahsia dengan Dede, menjadikannya isteri kedua.
Ade turut mempunyai seorang isteri pertama dan empat orang anak yang kini menetap di Pangalengan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

