Penipuan umrah guna wajah ibu Neelofa: Kerajaan tidak akan kompromi

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang menipu dalam perkhidmatan umrah.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, ibadah suci yang dijadikan sebagai alat untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan yang hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat.
"Kerajaan tidak akan berdiam diri dan saya memberi amaran kepada mana-mana individu, kumpulan atau syarikat yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan umrah, berhentilah segera," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, perbuatan menipu atas nama agama adalah merupakan jenayah berat sebagaimana larangan keras ALLAH SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 188.
"Saya menyeru kepada semua pengendali perkhidmatan umrah agar sentiasa memelihara integriti, amanah dan tanggungjawab terhadap pelanggan.
"Keberkatan rezeki hanya hadir dari jalan yang halal dan bersih," jelas Mohd Na'im.
Terdahulu selebriti, Neelofa mendedahkan kegiatan seorang lelaki menjalankan penipuan perkhidmatan umrah dengan menggunakan wajah ibunya, Noor Kartini Noor Mohammed dan adik, Ameera Khan secara berlebihan.
Menurutnya, Noor Kartini menerima pelbagai mesej yang sudah menjadi mangsa penipuan di akaun media sosial miliknya.
Dalam pada itu, Mohd Na'im mengingatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum pembayaran dibuat kepada syarikat pengendali umrah.
"Pastikan agensi umrah berdaftar dan sah di sisi undang-undang. Rujuk laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk pengesahan," katanya.
Tambah beliau, mangsa penipuan perlu segera membuat laporan polis dan aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membolehkan tindakan diambil.
"Jangan biarkan penipu terus bebas menipu orang lain," jelas Mohd Na'im.
Ujarnya, orang ramai turut dinasihati agar tidak mudah percaya dengan bahan promosi yang mempamerkan selebriti, testimobi dan video yang belum tentu kesahihannya.
"Sentiasa periksa latar belakang syarikat dan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

