Kebakaran saluran gas: Pasukan penyiasat teknikal ke Petronas Segamat

SEPANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menghantar sepasukan penyiasat teknikal ke Pusat Kawalan Utama Petronas yang terletak di Segamat, Johor.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisyam Mohammad berkata, langkah itu dibuat bagi mendapatkan log data seperti tekanan dan aliran gas masa nyata tiga minggu terkebelakang sebelum insiden kebakaran saluran paip gas berlaku di Putra Heights.
"Seramai lima pegawai telah dihantar hari ini untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu merungkai insiden berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Pendakian Amal Bomba de Everest, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, di sini pada Isnin.
Dalam insiden jam 8.10 pagi Selasa lalu, menyaksikan kebakaran saluran gas milik Petronas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa hampir lapan jam untuk diselesaikan.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 kediaman lagi terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh diduduki selepas melalui proses pembaikan.
Terdahulu Nor Hisyam melakukan pelepasan terhadap Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang akan berlepas ke Nepal membawa misi pendakian ke puncak tertinggi dunia menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest Mencari Hati Emas 2025.
Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pengkalan Udara Wilayah Tengah itu berlepas jam 8 malam selepas menjalani sesi latihan intensif selama tiga tahun di luar negara.
Ketika ditemui, Mohd Fakhrul,43, berkata, beliau teruja dan yakin untuk menyahut cabaran berdepan dengan puncak Everest.
"Keadaan kesihatan saya juga berada dalam keadaan terbaik, sekiranya cuaca baik, Insya-ALLAH akan berjaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

