[VIDEO] Gambar raya di studio memori terakhir bersama adik
TAIPING - Gambar kenangan hari raya yang dirakamkan di sebuah studio menjadi memori terakhir sebelum Mohd Fakhrurazi Adzraai, 37, maut dalam tragedi lubang pembetung di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong pada Ahad.
Mohd Fakhrurazi merupakan antara mangsa yang disahkan meninggal dunia ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan bersama Allahyarham Mohd Suhaimi Che Nor Allasahlila Puttera, 29, di tapak pembinaan sebuah resort berhampiran.
Abangnya, Rifaai, 38, berkata, adiknya kelihatan ceria ketika menyertai sesi foto hari raya yang dirakam di sebuah studio di Kuala Kangsar pada Sabtu.
Menurutnya, mereka sekeluarga sedondon baju warna hijau keemasan pertama kali merakam gambar di studio sebelum meneruskan konvoi beraya di rumah bapa saudara di Pulau Pinang.
"Arwah tidak ikut kami katanya ada kerja esoknya (Ahad) jadi kami teruskan perjalanan beraya ke Pulau Pinang dan bermalam di rumah saya di Ipoh untuk menghantar kakak saya ke Terminal Bas Amanjaya.

"Belum sempat kakak naik bas, kami dikejutkan dengan berita pemergian adik yang dikatakan jatuh di tempat kerja, menyebabkan kami bergegas pulang.
"Saya hanya dapat lihat jenazah adik dalam plastik hitam sahaja," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Taiping di sini pada Isnin.
Rifaai berkata, ibunya yang berusia 62 tahun amat terkesan dengan insiden itu berikutan arwah yang masih bujang sangat rapat dan menjaga warga emas itu di kampung.
Sementara itu, kakak kepada Mohd Suhaimi, Nor Zaini, 39, berkata, adik bongsu daripada tujuh beradik begitu teruja menyediakan segala persiapan Hari Raya di rumah keluarga mereka di kampung Sumpitan.

"Tahun ini semua adik-beradik balik dan sempatlah kami bersalaman pagi raya. Lemang air tangan arwah merupakan juadah terakhir yang dia sediakan untuk kami jamah.
"Sepanjang berada di kampung, kami mula perasan yang arwah suka ambil gambar, video bersama isteri dan ahli keluarga lain, seolah-olah dia tahu akan pergi tinggalkan," katanya.
Menurutnya, insiden itu sangat mengejutkan berikutan arwah yang dipanggil Dik Mi merupakan adik yang manja dan menjadi penyeri dalam keluarganya.
Mohd Suhaimi meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki berusia dua tahun.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke kampung halaman untuk dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sumpitan, Lenggong.
Media pada Ahad melaporkan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong.
Kedua-dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik.
Kejadian sekitar jam 10 pagi itu melibatkan lapan lelaki berusia 25 hingga 55 tahun yang mengalami sesak nafas dalam insiden tangki kumbahan yang dalam proses pembinaan.
Seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun dilaporkan kritikal, manakala empat yang lain menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar akibat sesak nafas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
