235 mangsa letupan paip gas perlukan bantuan berbeza - Nancy

SUBANG JAYA - Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan jaminan akan membantu setiap mangsa yang terlibat dalam kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, seramai 235 mangsa yang telah mendapatkan khidmat kaunseling Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) memerlukan bantuan berbeza mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, ia termasuk barangan seperti telefon bimbit, minyak angin, penapis udara, keperluan wanita dan sebagainya.
“Dalam sesi kaunseling ini, kita dapat mengetahui apa yang mereka perlukan setiap daripada mereka dan kita mendapati keperluan ini bukan bersifat menyeluruh tetapi individu.
“Ada yang memerlukan telefon bimbit dan penapis udara kerana mempunyai anak autisme termasuk juga barangan keperluan wanita seperti ‘nursing bra’.

“Kaunselor kita juga mendapati ada sesetengah mangsa yang hanya memerlukan minyak angin kerana pening berada di PPS. Semua ini kita akan santuni segera kerana keperluan masing-masing," katanya ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights di sini pada Isnin.
Tambah Nancy, JKM juga akan memberikan bantuan berbentuk wang tunai kepada mangsa yang memerlukan.
“Ada satu kes di mana seorang mangsa, ibu bapa dan adik-beradiknya dirawat di hospital... tiada tempat tinggal. Jadi rakannya memberi tempat tinggal untuk memudahkan dia melawat.
“Di sini kita dapat tahu bahawa mereka perlukan wang tunai untuk berulang-alik ke hospital, Grab dan banyak lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah mengumpulkan sebanyak RM29,533 untuk disumbangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
