Kebakaran Putra Heights: Penduduk dibenar masuk rumah 40 minit ambil barang

SHAH ALAM - Beberapa mangsa kejadian kebakaran dan letupan paip gas di kawasan Putra Heights pada pagi Selasa lalu dibenarkan masuk ke rumah selama 40 minit bagi mengambil barang keperluan mereka.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian berhampiran pos kawalan pusat kejadian, kelihatan penduduk membawa bagasi yang dibawa keluar dari rumah mereka yang terjejas.
Penduduk, Wee Vit Shuen, 32, berkata, hari ini merupakan kali kedua mereka dibenarkan masuk ke rumah masing-masing.
Menurutnya, keadaan rumah sangat teruk dengan serpihan bumbung jatuh dan mengancam keselamatan.
"Hari ini kami masuk 40 minit untuk ambil barang, kelam kabut juga sebab memang tidak sempat. Kami perlu pergi ke sana lagi.
"Apa menyedihkan bumbung rumah pun sudah tiada dan ia akan menyebabkan rumah semakin teruk jika ditinggalkan lama.
"Oleh itu, saya harap pihak berkenaan boleh ambil tindakan dengan segera agar kami dapat pulang ke rumah. Kejadian ini amat sukar untuk kami," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Terdahulu, kebakaran saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi 1 April, mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah lagi terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
