Hilang 8 hari, lelaki ditemukan hampir reput dalam parit

KOTA BHARU - Mayat seorang lelaki ditemukan hampir reput di dalam parit di Kilometer (KM) 65 Jalan Kota Bharu-Gua Musang selepas simpang tiga Sungai Durian pada Sabtu.
Penemuan mayat lelaki berusia 59 tahun itu merungkai misteri kehilangannya selama lapan hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, lelaki itu ditemui terbaring di tepi motosikal oleh seorang rakannya sebelum polis menerima laporan berkaitan penemuan mangsa pada jam 2.55 petang.
Menurut beliau, mangsa yang menunggang motosikal SYM secara sendirian dipercayai terbabas dan jatuh ke dalam parit itu.
"Mangsa yang merupakan orang hilang yang dilaporkan oleh isterinya pada 1April lalu selepas keluar rumah pada jam 1 pagi, 30 Mac untuk berjumpa kawan di bandar Kuala Krai.
"Isterinya menyedari lelaki itu belum pulang ke rumah pada jam 3 pagi dan cuba menghubunginya," katanya.
Bagaimanapun kata Mazlan, panggilan berkenaan tidak dijawab sehingga keesokan harinya.
"Isteri mangsa bimbang kerana dia tidak pulang ke rumah dan tiada sebarang berita sedangkan sebelum ini mangsa akan memaklumkan keberadaannya kepada keluarga," katanya.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kuala Krai menghala ke rumahnya di Kampung Keroh.
Tambah Mazlan, apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal itu dipercayai terbabas dan jatuh ke dalam longkang berdasarkan kesan tayar.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian berkenaan tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Amirul Izham Azlan di talian 09 9666222.
Sebelum ini, kehilangan lelaki itu tular di media sosial susulan ahli keluarga meminta orang ramai membantu mencarinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
