Tiga kilang terbakar di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kilang warga asing melecur tahap dua dalam kebakaran tiga buah kilang di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh, dekat sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.41 tengah hari, berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, 31 anggota dan pegawai bersama 10 jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Bukit Jelutong, Damansara dan Selayang yang digerakkan tiba ke lokasi pada jam 1.58 tengah hari.
"Terdapat seorang mangsa lelaki warganegara Bangladesh yang didapati melecur tahap dua, sudah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi rawatan lanjut.
"Insiden ini melibatkan tiga buah kilang anggaran keluasan 90x160 kaki persegi iaitu sebuah kilang kain serta kitar semula yang terbakar 80 peratus, kilang besi terbakar 70 peratus dan kilang kayu terbakar 90 peratus dengan kebakaran berjaya dikawal pada 2.51 petang tadi,” katanya dalam kenyataan petang Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran itu turut mengakibatkan sebuah kenderaan Toyota Hilux hangus sepenuhnya dan sebuah kereta jenis Proton terbakar 10 peratus.
"Setakat ini, kita telah berjaya memadam api sebanyak 40 peratus manakala selebihnya masih dalam proses pemadaman namun api terkawal,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
