Juruwang maut dalam nahas dua motosikal

KUANTAN - Seorang juruwang sebuah stesen minyak maut manakala remaja berusia 17 tahun parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan di Jalan Kuantan-Kemaman di hadapan Klinik Kesihatan Beserah di sini pada awal pagi Sabtu.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Muhammad Aidil Aqashah Abdul Malek, 20 beralamat dari Balok Pine di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, seorang lagi penunggang cedera di kepala dan perut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Y15ZR dipercayai dalam perjalanan dari arah Balok menghala ke arah bandar Kuantan.
"Remaja yang menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz pula dari arah Jalan Pelindung menghala ke arah Balok.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang sedang bergerak lurus di lorong kanan gagal mengelak motosikal ditunggang remaja terbabit yang keluar dari simpang secara tiba-tiba lalu berlaku perlanggaran," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
"Pihak polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

