'Tersentuh lihat kanak-kanak datang serahkan wang tabungan'

SHAH ALAM - “Kami amat tersentuh apabila melihat kanak-kanak kecil datang menyerahkan wang tabungan mereka sendiri, hanya kerana mahu membantu mangsa yang lebih susah."
Demikian luah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron melihat solidariti luar biasa dan menyentuh hati orang ramai terhadap mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Katanya, penduduk kini bukan sahaja kehilangan tempat tinggal dan kenderaan tetapi turut bergelut dengan tekanan dan trauma.
"Sejak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) mula beroperasi tiga hari lalu di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, pasukan kaunselor dan sukarelawan YKN giat menjalankan intervensi psikososial.
"Kehadiran individu dan syarikat yang pemurah dalam memberikan sumbangan tunai membolehkan YKN membekalkan keperluan penting kepada mangsa.
“Pelbagai keperluan mendesak telah dikenal pasti hasil sesi kaunseling bersama mangsa. Setiap mangsa mempunyai keperluan berbeza dan bantuan disalurkan berdasarkan keutamaan mereka termasuk keperluan perubatan dan sokongan psikososial,” katanya pada Jumaat.
Tambah Nordina, ada dalam kalangan mangsa merupakan ibu yang baru melahirkan anak, orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan khas dan bayi yang memerlukan susu formula khusus.

“Alhamdulillah, pasukan YKN bersama para sukarelawan segera membantu membekalkan keperluan-keperluan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, YKN turut membekalkan pelbagai barangan harian lain antaranya pakaian dalam, selipar, minyak angin, kipas mini elektrik dan kabel pengecas bagi memastikan keselesaan mangsa sepanjang berada di PPS.
Ujar Nordina, sebilangan besar mangsa merupakan keluarga daripada kumpulan B40 dari Kampung Sungai Baru juga tidak melepaskan peluang menemui kaunselor untuk mendapat khidmat psikososial.
"Sehubungan itu YKN menzahirkan penghargaan kepada penderma yang hadir ke PSSS untuk menghulurkan sumbangan secara langsung – baik dari individu mahupun organisasi korporat,” katanya.
Sementara itu, YKN mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada individu dan syarikat korporat yang ingin menghulurkan bantuan, setiap sumbangan tunai layak mendapat resit pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
