Hati sayu sambut Aidilfitri tanpa suami di sisi

MELAKA - Bagi kebanyakan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri adalah masa kegembiraan menyambutnya bersama keluarga dan insan tersayang.
Namun, bagi sesetengah individu, ia menjadi peringatan akan kehilangan orang yang dicintai, tetapi kenangan bersama mereka tetap hidup dalam ingatan.
Begitulah yang dihadapi Nor Atika Abdullah, 27, dari Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, yang terpaksa menyambut lebaran pertama tanpa suami tercinta, Allahyarham LBdr Mohd Izuan Hafiz Mohd Supian, 26, dari pasukan 361 Bti RAD (Para). Suaminya meninggal dunia semasa latihan pada Oktober tahun lalu.
Nor Atika mengakui tidak mempunyai kekuatan untuk menyambut lebaran tanpa suami, lebih-lebih lagi ini adalah tahun pertama bersama anak mereka, Nur Izyan Adelia yang baru berusia tujuh bulan.
“Seluruh keluarga, termasuk keluarga mentua, tidak merasakan semangat raya seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Tetapi, sebagai umat Islam, kami tetap meraikan Aidilfitri. Ini juga lebaran pertama bersama anak,” katanya sebak.
Ujarnya, kenangan terakhir bersama suami masih segar dalam ingatan.
Tiga minggu sebelum pemergiannya, mereka bercuti ke Cameron Highlands dan menziarahi keluarga mertua di Taiping dan Manjung.
Nor Atika kini terpaksa berhenti kerja kerana anaknya tidak mahu bercerai susu.
Malah dia kini berdikari dengan menjual makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya cuba berdepan dengan orang seperti biasa, tetapi kadang-kadang saya teringin berkongsi perkembangan anak dengan suami.
“Sekarang, saya hanya mampu meluahkan dalam doa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

