Kebakaran saluran gas: Setiap mesyuarat libatkan persatuan penduduk

SUBANG JAYA – Penduduk Putra Harmoni berharap pihak berkuasa dapat memastikan keselamatan penduduk dan menyelesaikan isu berkaitan pemulihan kawasan terjejas susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, pada Selasa.
Setiausaha Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Lau berkata, fokus utama ketika ini adalah membantu mangsa mendapatkan tempat tinggal yang selamat.
"Selain itu, pihak berkenaan perlu memastikan kawasan kejadian diperiksa sepenuhnya sebelum penduduk dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.
"Buat masa ini, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sebelum mempertimbangkan sebarang tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh berkata, pihaknya meminta agensi untuk melibatkan persatuan penduduk pada setiap mesyuarat yang diadakan.
"Kami memerlukan informasi untuk disampaikan kepada penduduk, saya harap pihak berkuasa bekerjasama dengan persatuan penduduk kerana kami ada semua data penduduk termasuk haiwan peliharaan mereka," katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu memasukkan wakil penduduk pada setiap perbincangan dan mesyuarat yang dijalankan.
"Kami perlukan maklumat untuk diberitahu kepada penduduk sebab mereka memang risau, itu yang kami minta setakat ini.
"Setakat ini dari segi koordinasi saya lihat ianya lebih pantas, kami juga sedia untuk membantu mana-mana penduduk yang mempunyai sebarang masalah," katanya.
Pada Khamis, seramai 115 pemilik kediaman yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dibenarkan masuk ke rumah mereka secara berfasa.
Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed dilaporkan berkata, fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula jam 9.30 pagi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, khususnya membabitkan pendawaian elektrik.
Dalam kejadian pada Selasa, saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter di Putra Heights, Subang Jaya, meletup sebelum terbakar hingga menyebabkan kerosakan rumah, kenderaan selain kecederaan beberapa penduduk berhampiran.
Sepasukan bomba telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
