Kebakaran saluran gas: Hanya seorang mangsa masih dirawat di ICU hospital di Selangor

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hanya seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lepas masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital negeri ini, kata Pengarah Kesihatan Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin.
Beliau berkata, pesakit berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.
"Apa yang saya boleh sahkan ialah hanya seorang pesakit dirawat di ICU hospital di bawah Selangor, iaitu dirawat di Hospital Ampang setakat pagi ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Dr Ummi Kalthom berkata, tiga pesakit yang dirawat di Hospital Cyberjaya pula kini dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sementara itu, Pengarah Hospital Cyberjaya, Dr Shahabuddin Ibrahim mengesahkan tiada lagi mangsa kejadian dirawat di hospital itu.
Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan setakat 3 petang, mangsa dirawat di fasiliti kementerian itu melibatkan 86 kes manakala 46 di fasiliti swasta.
Di Hospital Cyberjaya, setakat semalam jumlah kes ialah 26 dengan 23 pesakit telah dibenarkan keluar wad manakala seorang di ICU dan dua dirujuk ke HKL. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
