115 rumah terjejas jalani pemeriksaan akhir esok - Polis

Wan Azlan dalam sidang akhbar di PKTK Putra Heights, Subang Jaya pada Rabu.
Wan Azlan dalam sidang akhbar di PKTK Putra Heights, Subang Jaya pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Pemeriksaan akhir akan dilakukan ke atas 115 unit rumah di Taman Putra Harmoni, di sini, pada Khamis, bagi memastikan keadaan kediaman yang terjejas ini boleh segera untuk didiami semula dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tindakan dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kita dapati 115 daripada 264 rumah di sini yang kemungkinan dalam keadaan baik. Pada keesokan hari (Khamis), bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke rumah ini untuk jalankan pemeriksaan akhir bersama pemilik kediaman.

"Kita mahu melihat di dalam rumah terbabit adakah pendawaian elektrik masih boleh digunakan untuk dibekalkan bekalan elektrik kembali.

"Maknanya kita akan cuba kembalikan bekalan elektrik kepada 115 rumah ini," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Rabu.

Beliau berkata, bagi tujuan ini saya nasihatkan pemilik rumah bersabar dan mengikut arahan pihak berkuasa.

Jelasnya, pasukan petugas akan berusaha memberikan masa sesuai untuk pemilik kediaman datang.

"Saya harap mereka (penghuni) datang ikut masa ditetapkan. Jika mereka datang sekali gus akan akibatkan keadaan tegang dan huru-hara. Pada malam ini kita akan cuba dapatkan pemilik ini," ujarnya.

Mengulas mengenai urusan membawa masuk 150 penduduk bagi mengambil barang keperluan di rumah yang terjejas, beliau menjelaskan, urusan itu telah selesai selepas dilaksanakan bermula jam 9 pagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua pemilik kediaman telah dibawa menaiki kenderaan agensi ke rumah masing-masing dan dibenarkan mengambil barang keperluan dan penting sahaja.

"Keadaan adalah terkawal dan penghuni ini juga dibenarkan keluarkan kenderaan mereka yang boleh bergerak.

"Sebanyak 102 buah kenderaan dibawa keluar. Sepanjang proses ini kita dapat kerjasama penuh mangsa dan agensi terlibat serta menyelesaikannya sebelum jam 6 petang," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Azlan juga memaklumkan jalan di Taman Putra Harmoni telah diliputi tanah akibat ledakan saluran paip gas terbabit.

"Pembersihan akan dilakukan bagi membersihkan jalan terbabit bagi mengelakkan jalan berselut sekiranya hujan berterusan," ujarnya.

Katanya lagi, hasil pemantauan juga mendapati tiada lagi kebakaran kecil di premis kediaman dikesan.

Dalam kejadian pada Selasa, saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter di Putra Heights, Subang Jaya, meletup sebelum terbakar hingga menyebabkan kerosakan rumah, kenderaan selain kecederaan beberapa penduduk berhampiran.

Sepasukan bomba telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!