[VIDEO] Tubuh Jawatankuasa Mangsa Kebakaran Paip Gas Putra Heights - Hamzah

A
A
A

SUBANG JAYA – Mangsa insiden kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni di Putra Heights di sini dicadangkan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memastikan hak dan keperluan mereka mendapat perhatian sewajarnya.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, terdapat pelbagai kategori mangsa dalam insiden ini, termasuk mereka yang memiliki rumah sendiri, penyewa, serta individu mengalami kerugian akibat kediaman dan harta benda musnah dalam kebakaran tersebut.

"Saya kesal apabila beberapa agensi dan kementerian memberikan kenyataan yang berbeza-beza. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang sedang berdepan dengan situasi sukar ini," ujarnya.

Hamzah menenangkan salah seorang mangsa yang ditemui ketika lawatan ke PPS Putra Heights di Subang Jaya.
Hamzah menenangkan salah seorang mangsa yang ditemui ketika lawatan ke PPS Putra Heights di Subang Jaya.

Beliau yang diiringi beberapa pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditemui pemberita ketika melawat ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini pada Rabu.

Hamzah turut menekankan bahawa bantuan kepada mangsa harus bersifat menyeluruh dan adil.

Hamzah (duduk tengah) ditemui pemberita ketika melawat ke PPS Masjid Putra Heights di Subang Jaya pada Rabu.
Hamzah (duduk tengah) ditemui pemberita ketika melawat ke PPS Masjid Putra Heights di Subang Jaya pada Rabu.

"Sebagai contoh, jika ada penduduk yang kehilangan rumah sepenuhnya, apakah bentuk bantuan yang akan diberikan kerajaan selain RM5,000? Perkara ini perlu diperjelaskan dengan lebih teliti," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan bahawa penubuhan jawatankuasa ini akan membantu mengenal pasti keadaan sebenar mangsa dan memastikan mereka yang layak menerima bantuan sewajarnya.

"Walaupun mereka hanya penyewa, mereka tetap terjejas akibat bencana ini. Oleh itu, jawatankuasa ini boleh memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak mereka dan memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan," ujarnya lagi.

Hamzah turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan jawatankuasa yang bakal ditubuhkan bagi membantu mangsa dalam menghadapi cabaran mendatang.

Pada Rabu, media melaporkan sebanyak 20 agensi akan memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya.

Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan terlibat.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi pada Selasa, letupan paip gas bawah tanah yang menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, telah mencetuskan kebakaran besar.

Seramai 145 penduduk dilaporkan cedera dengan kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.

Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya, selain lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas, manakala sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!