Penduduk persoal kerja pembinaan sebelum kebakaran paip gas

Keadaan kediaman penduduk yang musnah selepas insiden kebakaran paip gas di Putra Heights. (Gambar kecil: Masri Ariffin, Nadzmi Roslaimee, Zoolkapli Mohd Yusof)
Keadaan kediaman penduduk yang musnah selepas insiden kebakaran paip gas di Putra Heights. (Gambar kecil: Masri Ariffin, Nadzmi Roslaimee, Zoolkapli Mohd Yusof)
A
A
A

SUBANG JAYA – Penduduk di kawasan kejadian kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini terus mempersoalkan aktiviti pembinaan dijalankan sebelum insiden itu berlaku, sambil menuntut siasatan telus bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Seorang penduduk, Masri Ariffin, 53, meluahkan rasa hairan terhadap kerja-kerja pembinaan didakwa berlaku di kawasan berdekatan iaitu dalam kawasan larangan dimiliki Petronas tanpa pemantauan yang jelas.

"Sekurang-kurangnya, jika mahu melaksanakan projek di kawasan berisiko, penduduk sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu agar mereka lebih berwaspada tetapi tiada sebarang arahan dikeluarkan," ujarnya.

Beliau yang ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus bagi mengelakkan sebarang spekulasi daripada masyarakat.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nadzmi Roslaimee, 30, mengesahkan terdapat kerja-kerja pembinaan di kawasan kejadian sebelum insiden berlaku.

"Saya berpandangan mereka yang menjalankan kerja pembinaan perlu mendapatkan kelulusan yang sah, tetapi saya tidak pasti sama ada mereka telah berbuat demikian atau tidak," ujarnya.

Namun, tidak semua penduduk bersetuju bahawa pembinaan menjadi punca utama kejadian.

Zoolkapli Mohd Yusof, 65, pula berpandangan bahawa kebakaran mungkin berpunca daripada faktor semula jadi seperti tekanan persekitaran dan keadaan tanah di kawasan tersebut.

"Banyak kemungkinan boleh menjadi punca, bagi saya ketahanan paip gas mungkin tidak terjejas kerana pembinaan itu sebaliknya ia mungkin berpunca daripada faktor lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Puchong itu bukan sahaja menggemparkan penduduk sekitar, malah seluruh negara.

Api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu dianggarkan mencecah 1,000 darjah Celsius menunjukkan betapa dahsyatnya kejadian itu dan mengakibatkan kecederaan kepada 67 orang dan merosakkan 237 premis dan 390 kenderaan.

Secara fizikal, kebakaran ini memberi kesan yang sangat besar dengan 78 rumah dan 10 kedai terbakar, menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.

Bagaimanapun setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan namun ada beberapa dakwaan termasuk kemungkinan kebocoran paip gas akibat kerja-kerja kontraktor yang tidak mengikut prosedur keselamatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!