Kebakaran saluran gas: Chery Malaysia pinjamkan 50 kereta kepada mangsa

Sze Han ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan dan bertemu penduduk yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Sze Han ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan dan bertemu penduduk yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kerajaan Negeri Selangor dengan usahasama syarikat pengeluar dan jenama automotif terkemuka, Chery Malaysia menyediakan 50 kenderaan untuk digunakan mangsa yang terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, beliau telah bertemu dengan sebahagian besar mangsa dan menerima banyak maklum balas bagi keperluan mereka.

Katanya, antara keperluan penting ialah urusan ke tempat kerja dan anak yang bersekolah bagi menghadapi peperiksaan.

"Jadi semalam (Selasa), saya telah menghubungi Chery Malaysia untuk minta bantuan membekalkan kereta bagi kegunaan sementara kepada mangsa.

"Pagi tadi (Rabu) saya terima panggilan Chery Malaysia bahawa mereka telah bersetuju untuk bekalkan 50 buah kereta Chery untuk tempoh satu bulan kepada mangsa yang memerlukan dalam tempoh (insiden) ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Sze Han berkata, permohonan boleh dibuat melalui pejabatnya atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

Jelasnya, ini merupakan usahasama kerajaan negeri dan Chery Malaysia untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Chery Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya menawarkan pinjaman kenderaan untuk digunakan kepada mangsa yang terjejas.

"Program pinjaman kenderaan ini menyediakan 50 kenderaan untuk membantu keluarga yang terjejas bagi menawarkan pengangkutan sementara.

Artikel Berkaitan:

"Chery Corporate Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pejabat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han serta pihak berkuasa tempatan bagi menyelaraskan program berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!