Takdir Muhyiddin, kejayaan yang tertangguh

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melambai ke arah media selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini.--fotoBERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melambai ke arah media selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini.--fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibarat permainan papan klasik, ular dan tangga, tiada siapa yang menjangka perjalanan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin kini cukup manis.

Nama beliau sebelum ini tiada dalam saga untuk jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan itu pada 24 Februari lepas.

Namanya hanya timbul apabila disebut oleh Dr Mahathir ketika melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 27 Februari dan sehari selepas itu, segalanya berubah.

Hari ini, anak jati Muar, Johor yang juga antara Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia kelapan di Istana Negara.

Figura berusia 72 tahun itu melalui pelbagai ranjau dan duri dalam perjalanan politiknya dan paling terkesan ialah disingkir daripada UMNO dan dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) berikutan kelantangan beliau terhadap kepimpinan BN ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ketika berangkat menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ketika berangkat menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA

Mula berkecimpung dalam politik sejak 1970-an, Muhyiddin yang lahir pada 15 Mei 1947 merupakan Ahli Parlimen Pagoh selama lima penggal sejak 1978.

Selain Ahli Parlimen Pagoh, anak kepada ulama terkenal di Bandar Maharani (Muar), Johor, Muhammad Yassin Muhammad itu juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Johor.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran negara dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam Kabinet iaitu Menteri Dalam Negeri (Mei 2018-Febuari 2020); Timbalan Perdana Menteri (2009-2015); Menteri Pendidikan (2009-2015); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2008); Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1999-2004), Menteri Belia dan Sukan (1995-1999); dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah beberapa pentadbiran sebelum ini.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM), Muhyiddin juga pernah menjawat jawatan Menteri Besar Johor (1986-1995) selepas memenangi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang pada pilihan raya umum ketujuh.

Kerjaya Muhyiddin bermula sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Johor pada 1970 dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar pada 1974.

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar pada 1981; dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada 1982.

Muhyiddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail serta Sekolah Tinggi Muar di Muar, Johor, sebelum melanjutkan pengajian ke UM.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Norainee Abdul Rahman pada 1972 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Fakhri Yassin, Nabilah, Najwa dan Farhan.

Jawatan terakhir beliau ialah Menteri Dalam Negeri di bawah Kabinet Dr Mahathir di bawah kerajaan Pakatan Harapan selepas gabungan itu yang melibatkan PKR, Bersatu, DAP dan Amanah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menewaskan Barisan Nasional.

Muhyiddin juga pernah memegang jawatan Naib Presiden UMNO (1993-1996 dan 2000-2007) dan dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 2008 sebelum dipecat pada 2016 kerana pendiriannya yang tegas dan berani menentang arus demi kepentingan parti.

Selain politik, Muhyiddin juga aktif dan banyak terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan iaitu pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Royal Johor Country Club dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (1986-1995); dan Presiden Persatuan Kanak-Kanak Spastik Negeri Johor (1986-1996).

Muhyiddin juga merupakan pengasas TSM Charity Golf yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat membentuk masyarakat penyayang melalui sumbangan kebajikan dan derma daripada sukan golf.

TSM yang ditubuhkan pada 2002 telah sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat terhadap sukan golf dengan menjadikan golf sebagai satu wadah untuk membuat kebajikan dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. - Bernama