Tidak perlu qada solat jika masjid tidak sengaja tersilap kiblat

SHAH ALAM - Individu yang menunaikan solat di surau atau masjid yang tersilap kedudukan kiblat tidak perlu menggantikan solat mereka kerana kesilapan tersebut bukan disengajakan.
Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham berkata, sekiranya kesilapan itu berpunca daripada usaha penduduk tempatan mencari arah kiblat mengikut kemampuan ilmu ketika itu, maka perbuatan tersebut diampunkan.
Menurutnya, individu yang pernah menunaikan solat di masjid berkenaan juga tidak perlu qada solat kerana kesalahan itu termasuk dalam kategori kejahilan yang tidak melibatkan kecuaian.
“Dalam kes masjid tersebut, solat mereka sebelum ini diampunkan. Namun, arah kiblat hendaklah segera dibetulkan dan jemaah digalakkan memperbanyakkan solat sunat bagi menampung sebarang kekurangan.
“Sebaliknya, kewajipan qada solat hanya berlaku jika individu tetap berdegil meneruskan solat ke arah yang salah setelah diberitahu mengenai kiblat yang betul,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada perkongsian individu yang pernah singgah di sebuah masjid lama di Pulau Sebatik, Indonesia, yang mendapati berlaku kesilapan arah kiblat selama lebih 35 tahun sebelum pihak berkuasa agama di sana mengarahkan pembetulan.
Ahmad Irfan yang juga pengkaji bidang falak dalam penentuan waktu solat dan arah kiblat berkata, terdapat ruang toleransi dalam kesilapan menentukan arah kiblat.
“Dalam Mazhab Maliki, terdapat pandangan yang membenarkan ralat arah kiblat sehingga 45 darjah.
“Mazhab Syafie berpendapat bahawa solat tidak perlu diqada jika kesilapan itu berpunca daripada kejahilan dan telah berlaku sejak sekian lama,” katanya.Mengulas mengenai punca kesilapan arah kiblat, Ahmad Irfan menjelaskan, ia berlaku disebabkan ketiadaan peralatan khusus untuk mengukur arah kiblat secara tepat pada zaman dahulu.
“Biarpun aplikasi telefon pintar kini banyak membantu dalam menentukan arah kiblat, ia masih terdedah kepada ralat.“Hal ini kerana kompas dalam telefon mudah terkesan dengan tarikan magnet di sekeliling, terutama di dalam bangunan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi bahawa Malaysia juga pernah merekodkan beberapa kes masjid dan kubur lama tersilap arah kiblat.
“Hasil kajian mendapati masyarakat terdahulu semata-mata bergantung kepada matahari terbenam untuk menentukan kiblat dan kedudukan kubur, sedangkan dari sudut ilmu falak, matahari tidak sentiasa terbenam di arah yang sama sepanjang tahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
