Cuepacs beri sokongan penuh kepada Muhyiddin

Adnan
Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengambil pendirian berdiri teguh serta yakin dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara.

Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs dan penjawat awam sentiasa bersama dengan kerajaan untuk terus memaju negara ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan yang sangat berkesan serta berkualiti kepada rakyat dan negara.

“Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, namun perkhidmatan awam tetap kekal setia meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi raja.

“Ini kerana perkhidmatan awam merupakan tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penjawat awam perlu bijak mendepani cabaran dan sentiasa memberi tumpuan ke arah kemajuan dan bijak menguruskan risiko.

“Perkhidmatan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan prinsip ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’ kerana rakyat sudah semestinya menaruh harapan yang tinggi kepada penjawat awam untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Cuepacs dan penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada rakyat dan negara bersandarkan teras taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Walau apa pun yang berlaku, perkhidmatan kerajaan akan sentiasa dipastikan berada dalam keadaan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Agong jam 10.33 pagi tadi di Istana Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri kelapan