Malaysia antara negara terawal hulur bantuan kepada Myanmar atas semangat ASEAN

Shamsul Azri. Foto Bernama
Shamsul Azri. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia antara negara terawal tampil menghulurkan bantuan kepada Myanmar yang berdepan bencana gempa bumi sebagai manisfestasi semangat ASEAN, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, Malaysia telah menghantar 50 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar pagi tadi untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ekoran bencana berkenaan.

"Marilah kita mendoakan agar SMART Malaysia yang diketuai oleh Kontinjen Komander Penguasa Kanan Bomba (PgKB) 1 Mohamad Hafiezul Abdul Halim diberikan perlindungan, keselamatan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda negara Asia Tenggara itu Jumaat lepas dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.

Sehingga Sabtu, jumlah korban bencana itu di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Shamsul Azri juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada anggota keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan pasukan perubatan yang bertugas pada musim perayaan ini atas pengorbanan dan khidmat bantuan kemanusian mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!