Tragedi menjelang Syawal, dua termasuk bayi maut kereta terbabas

TELUPID - Perjalanan tujuh sekeluarga dari Labuan ke Semporna berakhir tragedi apabila dua daripadanya termasuk seorang bayi lelaki maut selepas kereta yang dinaiki terbabas di bahu jalan berhampiran Klinik Kesihatan Telupid di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, bayi yang berusia enam bulan bersama seorang lagi individu yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia manakala lima lagi mengalami cedera ringan.
Difahamkan, kesemua tujuh sekeluarga tersebut dalam perjalanan pulang untuk berhari raya sebelum berlaku kemalangan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.28 pagi.
Katanya, seramai enam anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 100 kilometer dari BBP Beluran dan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX dinaiki tujuh individu.
"Terdapat tujuh mangsa yang terlibat iaitu empat dewasa, dua kanak-kanak dan seorang lagi bayi. Enam mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
"Seorang lagi mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Dua daripadanya disahkan meninggal dunia termasuk bayi manakala lima lagi mangsa cedera ringan. Maklumat kesemua mangsa tidak diperoleh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 8.30 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
