Teater Korupsi Dewan Semandung, lakonan Syura dapat pujian

Syura - FOTO: Produksi Teater Korupsi Dewan Semandung
Syura - FOTO: Produksi Teater Korupsi Dewan Semandung
A
A
A
PENYANYI Syura Badron tidak menyangka kemunculan pertamanya di pentas teater menerusi naskhah komedi seram Korupsi Dewan Semandung yang kini sedang dipentaskan di Istana Budaya mendapat sambutan dan respon positif daripada penonton.

Biarpun penampilannya itu sebagai pilihan kedua menggantikan pelakon lain, Syura ternyata meletakkan segala usaha keras untuk memberikan yang terbaik, sekali gus membuktikan bakat lakonannya.

“Berlakon pentas memang sudah lama menjadi impian saya selama ini, cuma baru kali ini rezeki menyebelahi saya.

“Memang terkejut bila mendapat tawaran untuk menjayakan teater ini, apatah lagi ia merupakan karya terbitan Ogy Ventures Network milik Kak Ogy, namun saya beranikan diri mencuba biarpun mempunyai masa yang sangat singkat untuk latihan.

“Hafal skrip dalam masa dua hari, fahami jalan cerita dan belajar semua benda dalam masa tak sampai seminggu. Alhamdulillah disebabkan minat dan bimbingan daripada pengarah dan rakan pelakon lain, saya berjaya laksanakan tanggungjawab yang diberi,” ujar Syura kepada Sinar Harian.

Menurut Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 34, pengalaman menyertai Muzikal Lawak Superstar (MLS) pada tahun lalu ternyata banyak membantunya untuk lebih yakin beraksi secara ‘live’ di pentas.

“Pengalaman di MLS memang banyak membantu. Apatah lagi kebanyakan rakan pelakon yang terlibat dalam teater ini juga menyertai program yang sama. Jadi kami tidak kekok dan mudah untuk bekerjsa bersama.

“Walaupun ini merupakan lakonan pertama saya di pentas teater, namun saya rasa selesa kerana dah pernah berlakon secara ‘live’ ketika menyertai MLS,” jelas Syura.

Mengulas tentang pujian yang diberikan penerbit dan pengarah teater terbabit iaitu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan Khir Rahman, kata Syura, dia terkejut dengan reaksi yang diberikan, namun menerimanya sebagai pemangkin semangat.

Artikel Berkaitan:

“Saya terkejut dan dan bersyukur bila mereka kata lakonan saya ‘OK. Orang tak tahu, waktu mula-mula nak jumpa kat Ogy masa latihan, saya punyalah takut. Jadi bila dia berikan pujian begitu saya memang rasa terharu sangat.

“Begitu juga dengan pengarahnya, Khir Rahman yang saya lihat sentiasa positif terhadap saya. Saya dapat skrip hari Sabtu dan pada Isnin dia nak tengok saya dah hafal semua.

“Macam tak percaya menerima pujian begini, tapi saya tak pernah rasa bagus dengan pujian pun. Saya tak nak lalai dengan pujian, sebaliknya menjadikan sebagai semangat untuk terus belajar dan buat lebih baik,” akhiri Syura.

Selain Syura, teater komedi seram Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 28 Februari sehingga 1 Mac itu juga menampilkan Douglas Lim, Joey Daud, Vicha, Azli Saat, Man Raja Lawak, Tauke, Mark Adam, Sherif Zero dan ramai lagi termasuk penampilan khas Prof Datuk Dr Maza.