X

Kindly register in order to view this article
!

Kuasa di puncak tiang berminyak

A
A

APABILA seseorang pemimpin berada di kemuncak karier dalam apa juga sistem politik, mereka perlu sentiasa beringat bahawa mereka sebenarnya berada di atas tiang bergris yang penuh minyak.

Tiang politik itu amat licin. Untuk memanjatnya dari bawah hingga ke atas, sungguh susah. Jika tiada kesabaran, ketabahan dan semangat juang, mereka tidak akan sampai ke atas.

Apabila telah berada di atas, jika tidak bernasib baik dan tidak pandai meniti, seseorang ahli politik boleh jatuh tersungkur pada bila-bila masa.

Hari ini mereka mungkin seorang menteri, esok mereka boleh ditakdirkan hilang semua jawatan bergaji besar dalam parti politik dan kerajaan.

Seorang menteri Kabinet Malaysia dalam satu taklimat tertutup kepada editor akhbar di Kuala Lumpur kira-kira tiga minggu lalu ditanya tentang perubahan gaya kepimpinan Perdana Menteri ketujuh, Tun

Dr Mahathir Mohamad dulu dan sekarang, prospek karier peribadinya dan kekuatan kerajaan.

Waktu itu telah mula rancak bertebaran khabar angin kononnya bakal berlaku sesuatu kepada politik Malaysia.

Menteri itu menjawab, dia pun tidak tahu tentang nasibnya. “Mungkin seminggu lagi, saya bukan lagi menteri,” katanya. “Sekarang ini ada banyak cerita politik yang saya dengar dan awak pun dengar.”

Kira-kira 17 hari kemudian, apa yang dibimbangi oleh menteri itu berubah menjadi suatu kenyataan yang pahit untuk ditelan. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru berusia 22 bulan tumbang ekoran penjajaran dan konfigurasi baharu politik Malaysia sedangkan mandat kerajaan PH itu sepatutnya boleh bertahan hingga tahun 2023.

Menteri itu terpaksa turun dari puncak kuasa susulan dinamika politik negara ketika ini. Kerana dia baru 22 bulan menjadi menteri, dia tidak layak menikmati pencen menteri, iaitu sesuatu yang menyedihkan kepada ahli politik yang merasakan dia telah berkhidmat dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

Akar kepada masalah dalam kerajaan PH yang tumbang minggu lalu telahpun bermula sejak awal tahun 1980-an ketika Dr Mahathir baru menjadi Perdana Menteri buat kali pertama manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin kumpulan pendesak.

Persaingan, perlawanan, permusuhan dan persahabatan politik antara mereka telah bermula berdekad-dekad lalu dan bertambah tegang kira-kira 22 tahun lepas.

Sebelum krisis politik tercetus seminggu lalu, Malaysia telah melalui penjajaran politik yang dramatik pada tahun 2018. Selalunya penjajaran akan diikuti dengan kestabilan politik, namun fenomena itu tidak terjadi dalam kes kerajaan PH.

Berkepentingan

Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO, parti terbesar orang Melayu, dikikis kuasanya oleh PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

BN dan UMNO hilang kuasa bukan kepada tokoh baharu tetapi kepada gerakan politik yang dipimpin oleh Dr Mahathir dan Anwar, yang merupakan nama besar dalam UMNO sepanjang mereka berada dalam parti itu.

Kedua-duanya merupakan sahabat berkepentingan dan musuh sejati kepada sesama sendiri dan kepada banyak ahli politik dalam BN dan UMNO.

Janji dan persefahaman peribadi yang dibuat antara elit-elit politik PKR, DAP, Amanah dan Bersatu yang menyokong Dr Mahathir dan Anwar telah menjerumuskan Malaysia ke kancah ketidakstabilan.

Janji untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan selepas dua tahun PH memerintah merupakan kekusutan utama kepada kemelut yang melanda Malaysia.

Penjajaran yang penuh janji tidak tertunai pada tahun 2018 yang terhasil daripada PRU14 musnah ketika ia baru hendak berkembang.

Kini penjajaran dan konfigurasi politik itu melalui satu pusingan yang lebih komprehensif dan radikal sebagai respons kepada tingkah laku pengundi dan penyokong parti-parti politik, serta rakyat Malaysia umumnya, yang merasakan penjajaran yang dibuat 22 bulan lalu sedang menghala ke arah sesuatu yang tidak realistik dan berbahaya kepada Malaysia.

Persoalan kenapa janji untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri sukar untuk ditepati kekal sebagai suatu misteri politik yang sukar diungkapkan. Kekeliruan, keadaan tidak keruan dan fragmentasi melanda semua orang, termasuk ke atas Dr Mahathir sendiri.

Dr Mahathir ternyata keliru dengan apa yang beliau inginkan.

Di belakang pergolakan politik yang terjadi di Malaysia sejak seminggu lalu, terserlah isu-isu kelas, kaum, agama, wilayah dan negeri, perbezaan bahasa dan budaya, tafsiran sejarah serta kebimbangan parti-parti politik tentang arah haluan dasar-dasar kerajaan dan sistem bernegara.

Ia diburukkan lagi dengan pemahaman bahawa politik bukan sekadar mengenai kuasa, ia juga adalah suatu persaingan dalam menentukan hala tuju kemakmuran negara, pembahagian kekayaan sesama penyokong dan pengagihan kek ekonomi.

Pergolakan melarat apabila Parti Bersatu dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam PKR telah tidak tahan dengan desakan supaya Dr. Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri. Akhirnya kedua-dua kem yang menjadi duri dalam daging PH itu mengumumkan ia keluar daripada PH.

PH asalnya mengandungi empat buah parti (Bersatu, PKR, DAP dan Amanah). Dengan keluarnya 26 orang ahli Parlimen Bersatu dan 11 orang wakil rakyat daripada PKR, langkah itu menumbangkan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan berlaku konfigurasi politik di negeri-negeri.

PH kini hanya memiliki 92 orang ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat sedangkan untuk membentuk kerajaan ia memerlukan angka 112 ahli Parlimen sebagai syarat minimum.

Elemen ketidakpercayaan (distrust) amat tinggi dalam kalangan parti utama PH, dan ada ahli politik yang telahpun berada di kemuncak tiang licin bergris sanggup kehilangan kuasa, kemewahan kerjaya sebagai menteri, timbalan menteri dan mungkin juga kedudukan sebagai ahli Parlimen, bagi suatu perjuangan baharu yang samar-samar, dibayangi mendung dan kelam sejak seminggu lalu.

Perspektif dan matlamat politik ahli-ahli politik elit itu kini akan sekali lagi melalui penjajaran semula, yang mungkin meniupkan kestabilan politik atau mungkin juga menjerumuskan Malaysia dalam samudera politik yang dibadai ombak ganas persaingan kuasa.

Ketagih berpolitik

SESETENGAH pemimpin menjadi ahli politik kononnya untuk berjuang demi bangsa dan negara.

Dalam semua komuniti dan masyarakat di dunia, akan ada ahli politik begini. Namun politik juga ada sisi negatifnya. Sifat semula jadi politik mempengaruhi personaliti-personaliti yang terlibat.

Lebih teruk, ia boleh memberi ketagihan. Dan kadangkala tanpa disedari oleh pengikut dan ahli politik itu sendiri, mereka berpolitik sebenarnya semata-mata untuk memenuhi ketagihan pemimpin kepada politik.

Apabila seseorang menyertai perjuangan politik dalam parti, ia lazimnya bermula pada usia remaja.

Untuk berada di puncak tiang licin yang berminyak, ia mengambil masa bertahun-tahun. Dalam sesetengah kes selama berpuluh-puluh tahun.

Politik menjanjikan suatu pengakhiran kepada karier seseorang ahli politik. Kecuali bagi pemimpin yang mati ketika dia sedang berkuasa, semua ahli politik lain pada satu peringkat dalam karier politik mereka akan ditakdirkan berdepan dengan kegagalan.

Selepas menang, kekalahan akan muncul. Mungkin setahun, mungkin 10 tahun, mungkin 40 tahun. Masa itu tetap akan sampai.

Inilah takdir yang pasti ditempuhi oleh Dr Mahathir, Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan telahpun dirasai oleh bekas Perdana Menteri yang ditumbangkan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kegagalan dalam politik memang menyakitkan. Mereka yang kehilangan jawatan besar menteri baru-baru ini, misalnya, tahu betapa sakitnya perasaan itu.

Ahli politik yang bijak dan memahami takdir karier politik mungkin akan merancang untuk berundur secara terhormat setelah berada di puncak kuasa dalam tempoh tertentu.

Bagaimanapun, ketagihan kepada kuasa dan politik kadangkala menyebabkan ada sesetengah ahli politik berterusan bergayut pada tiang berminyak.

Jika kita mengkaji biografi semua tokoh politik di seluruh dunia, cerita kegagalan dalam politik adalah sesuatu yang pasti berlaku.

Keruntuhan kuasa sememangnya suatu tragedi yang tidak dapat dielakkan.

*Datuk Baharom Mahusin ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!