Gencatan senjata Israel-Hamas 'berakhir'

Israel mencabuli perjanjian gencatan senjata dengan terus melancarkan serangan ke atas penduduk Palestin. (Foto Xinhua) Gambar kecil: Shahidah
Israel mencabuli perjanjian gencatan senjata dengan terus melancarkan serangan ke atas penduduk Palestin. (Foto Xinhua) Gambar kecil: Shahidah
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel dianggap terlucut susulan pencabulan daripada rejim Zionis yang berterusan melancarkan serangan.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM ) Seremban, Shahidah Abdul Razak berkata, walaupun usaha untuk memulakan gencatan senjata fasa kedua sedang dimulakan selepas fasa pertama berakhir, peperangan masih berterusan, malah pencabulan gencatan senjata terus berlaku.

“Sudah lama gencatan senjata antara Hamas dan Israel ‘berakhir’ kerana pencabulan daripada rejim Zionis.

“Apa yang boleh dilihat dalam situasi sekarang adalah penghapusan etnik secara jelas dan besar-besaran sedang dilakukan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Walaupun dunia menggesa untuk Israel mengakhiri kezaliman di Gaza, namun rejim zalim ini terus menerus ingin menakluki tanah Palestin dengan cara apa sekalipun dengan dibantu oleh sekutunya Amerika Syarikat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Media antarabangsa melaporkan, lebih 50 penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban dalam serangan ganas yang terus diperhebatkan rejim Zionis di seluruh Genting Gaza dalam tempoh 24 jam.

Saksi mendakwa, kempen pengeboman itu turut menyasarkan sebuah pasar sesak di tengah Gaza ketika penduduk sedang membuat persiapan akhir untuk menyambut ketibaan Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Shahidah berkata, gencatan senjata dilihat sukar apabila Israel sentiasa cuba melambatkan proses perdamaian dengan pelbagai alasan dan menggunakan masa yang ada untuk melancar serangan besar-besaran yang bukan hanya memberikan tekanan kepada rakyat Palestin tetapi juga negara jiran Palestin.

Justeru tegasnya, campur tangan badan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bagi mengakhiri konflik tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan pengaman perlu dihantar bagi mengawal keadaan dan menyelamat konflik ini daripada berterusan dan mengorbankan ribuan nyawa di Gaza," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!