MARA perkasakan bumiputera melalui 3P

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Malaysia (MARA) akan terus memperkasakan bumiputera melalui strategi 3P iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zulfikri Osman berkata, strategi tersebut dilihat sebagai kaedah berimpak tinggi untuk menerajui sosioekonomi bumiputera.
Menurutnya, matlamat 3P bukan sekadar retorik semata-mata namun ia perlu dibuktikan melalui peningkatan sumbangan masyarakat bumiputera dalam industri negara.
“Saya percaya bahawa model yang kita laksanakan ini adalah usaha bertepatan memastikan bumiputera terlibat dan memiliki kepakaran yang tinggi untuk memacu produktiviti ekonomi negara.
“Semakin ramai golongan tenaga mahir dan profesional yang kita lahirkan, maka ia akan memberi impak besar terhadap penguasaan ekonomi yang berpotensi dipelopori oleh anak bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Naratif Eksklusif Ketua Pengarah MARA di Ibu Pejabat MARA di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Zulfikri, bagi memperkasa agenda itu, MARA perlu mewujudkan artikulasi ekosistem pendidikan yang lebih jelas.
Ulasnya, langkah itu mampu melahirkan ramai graduan bumiputera yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran setelah mengikuti pengajian dalam sistem MARA.
“Di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pelajar sudah didedahkan dengan laluan kerjaya bidang profesional termasuklah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ia membuka peluang kerjaya kepada mereka untuk menyertai bidang industri atau aktiviti ekonomi negara.
“Selain itu, melalui fungsi sektor keusahawanan MARA pula, pelajar daripada bidang profesional mahupun TVET juga diberikan laluan untuk menceburi bidang keusahawanan
“Menyentuh soal TVET di peringkat GIATMARA, kita mahukan institusi tersebut menjadi tempat untuk mengasah individu mempunyai kemahiran tinggi selain menyediakan kompetensi pelatih daripada tahap satu hingga tahap lima,” ujarnya.
Sementara itu, Zulfikri berkata, sektor pelaburan MARA khususnya kepada subsidiari perlu memiliki tadbir urus korporat yang lebih efisien untuk mengembangkan prestasi perniagaan.
Jelasnya, bagi mencapai matlamat 3P warga kerja MARA perlu sentiasa memastikan nilai integriti menjadi keutamaan dalam menjalankan tugas.
“Subsidiari MARA perlu mengenalpasti peluang dan pasaran baharu untuk lebih berdaya saing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
