[VIDEO] Peruntukan tambahan RM40 juta pastikan bekalan gula di Sabah, Sarawak cukup

A
A
A

PAPAR - Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta bagi memastikan bekalan gula di Sabah dan Sarawak mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kelulusan itu merangkumi kos pengangkutan serta pembentukan stok penimbal di kedua-dua negeri berkenaan.

"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang lepas, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan bagi menampung kos pengangkutan gula putih bertapis kasar dalam paket satu kilogram dan dua kilogram dari pengilang di Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Sejak penghujung 2022, kos pengangkutan perkapalan meningkat akibat keadaan geopolitik global yang memberi kesan kepada harga minyak.

"Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM19 juta setahun untuk membawa bekalan kira-kira 187,000 tan metrik gula ke Sabah, Sarawak dan Labuan dengan kos 10 sen bagi setiap paket.

"Namun, bagi mengurangkan bebanan pengilang, Kabinet bersetuju dengan syor KPDN untuk menaikkan kadar subsidi kepada 20 sen setiap peket, menjadikan jumlah peruntukan kepada RM38 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi Happy Hour pada program Jualan Rahmah, di sini pada Jumaat.

Armizan (dua dari kiri) ketika menyempurnakan sesi Happy Hour pada program Jualan Rahmah di Papar.
Armizan (dua dari kiri) ketika menyempurnakan sesi Happy Hour pada program Jualan Rahmah di Papar.

Ahli Parlimen Papar itu berkata lagi, langkah yang diambil itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan bekalan gula di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak terjejas.

Tambah beliau lagi, Kabinet turut meluluskan cadangan KPDN untuk mewujudkan stok penimbal bagi mengatasi sebarang gangguan bekalan seperti yang berlaku pada tahun 2023.

"Sebanyak 1,000 metrik tan stok penimbal akan ditempatkan di Sabah untuk keperluan Sabah dan Labuan, manakala 1,000 metrik tan lagi di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

"Fungsi stok penimbal ini adalah bagi memastikan sekiranya berlaku gangguan bekalan, gula dapat diedarkan segera tanpa perlu menunggu penghantaran dari Semenanjung.

"Jadi kerajaan memperuntukkan RM1 juta secara sekali bayar (one-off) bagi setiap stok penimbal di Sabah dan Sarawak, manakala kos penyelenggaraan akan ditanggung oleh kedua-dua pengilang," katanya.

Sehubungan itu, jelanya secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang diluluskan merangkumi tambahan RM19 juta untuk subsidi pengangkutan serta RM2 juta bagi stok penimbal, menjadikan jumlah keseluruhan yang disediakan kerajaan adalah sebanyak RM40 juta setahun.

"Jadi jumlah keseluruhannya hanya untuk gula, bagi pengangkutan dan stok penimbal itu adalah sebanyak RM40 juta setahun dan ini tidak termasuk yang kerajaan berikan insentif RM1 bagi setiap paket satu kilogram gula yang dijual, untuk mengekalkan harga runcit pada kadar RM2.85 sekilogram, walaupun harga pasaran global kini mencecah RM3.60 hingga RM3.70 sekilogram.

"Sejak beberapa tahun lalu, kedua-dua syarikat pengeluar gula mengalami kerugian sehingga ada yang berdepan risiko. Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk campur tangan dengan memberikan insentif khas sementara menunggu keputusan dasar baharu mengenai hala tuju industri gula," katanya.

Mengenai cadangan untuk menubuhkan kilang gula di Sabah, Armizan berkata perkara itu pernah dibincangkan dan disyorkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Kewujudan kilang penapisan di Sabah dan Sarawak dapat membantu mengurangkan isu gangguan bekalan.

"Dengan penglibatan kerajaan negeri dan pelaburan pihak berkaitan, bekalan gula mentah boleh diimport terus dari negara sumber tanpa perlu diproses di Semenanjung terlebih dahulu.

"Buat masa ini, sumber bekalan utama gula mentah adalah dari Brazil dan Thailand," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!