Kecuaian pegawai, jurulatih punca utama kes buli terus berlaku - Penganalisis jenayah

SHAH ALAM - Kecuaian pegawai dan jurulatih di institusi ketenteraan didakwa menjadi punca utama berlakunya kes buli sehingga menyebabkan kematian terus berulang sehingga kini.
Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, kematian akibat kecuaian dalam institusi ketenteraan adalah satu kesalahan serius yang memerlukan siasatan mendalam dan telus, selain tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab perlu diambil segera.

Menurutnya, institusi ketenteraan yang terlibat dalam kes seperti itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana anggota dan pelatih berada di bawah perlindungan mereka sepanjang tempoh latihan.
“Kecuaian itu berlaku kerana anggota tidak diberi perhatian 100 peratus. Sebenarnya pemerhatian bukan sahaja perlu dilakukan ketika latihan, selepas latihan pun kena lihat juga, jika tak lihat mungkin sebab itu berlaku kematian dan sebagainya.
“Ini yang kita bimbang sebab negara mahu cari pelapis tetapi bila berlaku seperti ini, mungkin masyarakat akan takut untuk mohon berkhidmat sebagai tentera nanti.
“Tak dinafikan latihan ketenteraan itu memang sukar kerana nak mendisiplinkan mental dan fizikal, tetapi mungkin ada kekurangan di mana-mana prosedur sehingga terjadinya perkara tak diingini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Shahul Hamid berkata, kerajaan perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) latihan ketenteraan bagi memastikan tiada ruang untuk kecuaian boleh berlaku sehingga membawa maut.
“Bagaimanapun, faktor seperti kurang pemantauan, masalah kesihatan, serta budaya buli antara senior dan junior juga perlu diberi perhatian serius.
“Ada juga kes senior yang dahulu pernah alami sesuatu perkara yang buruk dan disebabkan itu mereka seperti nak ‘balas dendam’ pada junior,” ujarnya.
Beliau berkata, perkara ‘membuli hukum’ perlu segera diberi perhatian serius terutama apabila melibatkan universiti atau institusi ketenteraan yang berada di Malaysia.
Jelasnya, negara perlu melahirkan tentera yang kuat mental dan fizikal dan bukannya melahirkan pembuli sehingga menyebabkan kematian.
“Undang-undang di negara kita tidak ada masalah cuma yang membimbangkan adalah hasil siasatan, adakah ia telus ataupun tidak?
“Sebab keluarga mangsa dan masyarakat nak tahu perkara sebenar, kenapa sampai maut dan sebagainya, jadi pihak tentera dan polis perlu buat siasatan telus... dan tak melindungi mana-mana pihak,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
