Mydin jual barang keperluan musim perayaan lebih rendah daripada harga pasaran

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan tanda harga ayam ketika hadir pada kempen turun harga dan perletakan logo Singgah Madani di Mydin USJ pada Khamis. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan tanda harga ayam ketika hadir pada kempen turun harga dan perletakan logo Singgah Madani di Mydin USJ pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Syarikat Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menjual pelbagai jenis barang keperluan musim perayaan lebih murah dari harga pasaran dan harga siling ditetapkan kerajaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, antara barang yang dijual lebih murah berbanding harga kawalan termasuk ayam dan santan dengan langkah itu bertujuan membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan.

Beliau berkata, biarpun harga siling ayam ditetapkan pada kadar RM10.40 sekilogram, namun Mydin hanya menjual pada harga RM7.99 sekilogram.

"Begitu juga harga siling santan segar biasanya dijual dengan harga RM17.50 sekilogram, namun kita hanya jualnya dengan harga RM7.50 sekilogram sempena musim perayaan ini.

"Santan kotak pula dijual dengan harga RM3 berbanding harga pasaran lebih RM4.

"Sebagai pasaraya kita kena jual barang dengan harga lebih murah berbanding pesaing demi menarik orang ramai datang membeli belah di pasar raya Mydin," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Ameer berkata demikian selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan harga barangan keperluan musim perayaan di Mydin USJ di sini, pada Khamis.

Sempena lawatan Perdana Menteri, Mydin USJ turut menjual 500 ekor ayam dengan harga RM1 sekilogram kepada pengunjung terpilih.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, Ameer turut menyampaikan kotak rezeki bernilai RM100 kepada pengunjung Mydin bertuah.

Dalam pada itu, Ameer berkata, Mydin juga menjual baju Melayu dewasa dan kanak-kanak berkualiti tinggi dengan harga mampu milik iaitu antara RM30 hingga RM69.90 berbanding jenama terkenal yang harganya memcecah RM200 ke RM300.

"Saya juga gembira kerana Perdana Menteri tersenyum lebar selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan musim perayaan di Mydin USJ hari ini.

"Senyuman itu mengambarkan Perdana Menteri berpuas hati dengan harga barangan keperluan musim perayaan seperti ayam, bawang dan santan yang dijual dengan harga lebih rendah di Mydin berbanding di tempat lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!