Wanita mengaku amang seksual fizikal terhadap 'teman wanita' bawah umur

Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Khamis.
Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita berperwatakan lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis di atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang juga merupakan 'teman wanitanya', sejak pertengahan tahun lalu.

Tertuduh, Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu setelah dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan bagi maksud seksual terhadap remaja perempuan yang berusia 13 tahun tujuh bulan ketika kejadian, pada pertengahan 2024 dan Februari lalu di Kulai.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin mencadangkan jaminan berjumlah jumlah RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan melibatkan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsanya (jik ada) mahkamah sekiranya ada.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan yang lebih rendah antara RM2,000 hingga RM5,000 atas alasan tidak mampu membayar jaminan yang tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!