Wan Rosdy tinjau operasi Op Khas Pagar Laut di perairan Pahang

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menaiki Kapal Maritim (KM) Pekan pada Rabu bagi meninjau pelaksanaan operasi Op Khas Pagar Laut yang sedang dilaksanakan di perairan negeri ini.
Turut serta dalam tinjauan operasi itu adalah Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab.
Operasi diaktifkan bermula 10 Mac lalu sehingga 18 April ini dilaksanakan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan pencerobohan di perairan Pahang menjelang sambutan Aidilfitri.
Wan Rosdy berkata, operasi itu melibatkan empat fasa utama iaitu pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan sebelum dan selepas perayaan serta pemantauan berterusan melalui Post Exercise Debrief (PXD).

"Sebanyak 10 aset terdiri daripada lima kapal dan lima bot digerakkan dengan kekuatan lebih 260 anggota sepanjang operasi ini.
"Pada masa sama, Maritim Malaysia Pahang bersiap siaga untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh perairan Pahang," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, operasi itu merupakan bukti komitmen dan kesiapsiagaan anggota Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman.
"Ia termasuk membanteras aktiviti haram seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing dan kegiatan jenayah maritim lain yang boleh mengancam keselamatan serta ekonomi negara.
"Sepanjang lima tahun pelaksanaan operasi ini dari 2020 hingga 2024, Maritim Pahang berjaya menumpaskan 18 kes termasuk jenayah maritim dengan nilai rampasan hampir RM650,000," katanya.
Tambah beliau, Maritim Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut terutamanya di musim perayaan ini.

"Langkah itu bagi memastikan sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras supaya perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.
"Walaupun berdepan risiko tinggi, mereka tetap teguh menjalankan tugas demi kepentingan negara dan rakyat.
"Keberanian dan pengorbanan anggota Maritim Malaysia perlu dihargai semua pihak," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai pengorbanan yang dicurahkan oleh anggota Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negeri ini sentiasa selamat, aman, dan terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

