Penjual ayam hijau kena sindir, diketawakan netizen

ISLAMABAD – Seorang penjual dalam talian di Pakistan mencetuskan kontroversi apabila cuba menjual seekor ayam yang dicat hijau sebagai burung kakak tua di platform e-dagang OLX dengan harga Rupee Pakistan 6,500 (RM102).
Akhbar harian berbahasa Inggeris Pakistan, Minute Mirror melaporkan penjual yang identitinya tidak didedahkan itu mendakwa dalam iklannya bahawa 'burung kakak tua' tersebut adalah spesies yang jarang ditemui, sekali gus menarik perhatian pembeli yang mencari haiwan eksotik.
Bagaimanapun, taktik liciknya terbongkar apabila pengguna internet yang peka segera menyedari bahawa haiwan itu sebenarnya seekor ayam yang diwarnakan hijau bagi menyerupai burung kakak tua.
Gambar ayam berwarna hijau itu segera tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kecaman, gelak tawa, serta sindiran daripada netizen.
Seorang pengguna media sosial berseloroh, "Nampaknya burung kakak tua ini menyertai trend fesyen baharu!" Manakala seorang lagi berjenaka, "Hanya di Pakistan, ayam boleh bertukar menjadi burung kakak tua dengan sedikit kreativiti dan cat hijau!"
Walaupun insiden ini mengundang jenaka, ia turut menimbulkan kebimbangan tentang peningkatan kes penipuan dalam talian di Pakistan. Ramai pengguna menyuarakan kebimbangan mengenai taktik penjual yang sanggup memperdaya pelanggan demi keuntungan mudah.
Pakar keselamatan siber menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika melakukan transaksi dalam talian, terutamanya di platform jual beli seperti OLX.
Mereka menyarankan pembeli untuk menyemak kesahihan iklan, meminta bukti sahih sebelum membuat pembayaran, serta mengelak daripada membeli haiwan secara dalam talian tanpa melihatnya terlebih dahulu.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap penjual terbabit. Namun, kejadian ini menjadi peringatan bahawa tidak semua yang kelihatan menarik dalam talian adalah seperti yang diiklankan. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
