Hans Isaac dilantik semula sebagai Pengerusi Finas

PELAKON, penerbit dan pengarah filem, Datuk Hans Isaac sekali lagi dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa 26 Mac 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, mengumumkan pelantikan tersebut menerusi satu hantaran di Instagram.
“Setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Datuk Gerald Hans Isaac di atas pelantikan sebagai Pengerusi Finas berkuat kuasa 26 Mac 2025,” katanya.
Hans, 54, atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, secara rasmi memulakan tugas bagi menggantikan bekas pengerusi, Datuk Kamil Othman, yang menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari lalu.
Sebelum ini, Hans pernah menyandang jawatan yang sama dari April 2019 hingga Mei 2020, sebelum melepaskannya susulan perubahan politik ketika itu.

Mengulas mengenai pelantikan semula ini, pelakon filem Cuci itu mengucapkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui Finas sekali lagi.
“Penggal berkhidmat di Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah pun berakhir. Kini saya kembali ke dalam industri yang telah melonjakkan nama saya ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Saya pernah menjawat jawatan ini sebelum ini dan terpaksa melepaskannya akibat ketidakseimbangan politik ketika itu.
“Saya mempunyai banyak perancangan untuk industri seni, termasuk memperjuangkan hak pekerja di belakang tabir agar mereka mendapat pengiktirafan setanding dengan usaha mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kini bersedia memegang amanah sebagai Pengerusi Finas bagi penggal baharu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!