Fenomena biskut raya MyPride, jualan cecah RM1 juta dalam sebulan

SHAH ALAM – Biskut raya hasil air tangan prospek penjara mendapat sambutan luar biasa sehingga jualannya mencecah RM1 juta selepas tular di media sosial, sekali gus menjadikan Galeri Produk MyPride, Kompleks Penjara Kajang, ‘diserbu’ orang ramai sejak awal Ramadan.
Fenomena ini tercetus selepas seorang pempengaruh memuat naik video yang menampilkan pelbagai jenis biskut raya dan makanan sejuk beku dari galeri tersebut.
Malah, produk-produk berkenaan bukan sahaja berkualiti premium, tetapi juga lebih murah berbanding pasaran luar.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dalam satu kenyataan ringkas mengesahkan jualan biskut raya jenama MyPride yang dihasilkan warga penjara kini sudah mencecah RM1 juta.
Abdul Aziz berkata, biskut raya jenama MyPride yang dihasilkan oleh warga penjara telah mencatatkan peningkatan jualan yang memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun 2025, lebih 80,000 balang biskut raya telah terjual setakat 25 Mac, menunjukkan sambutan luar biasa daripada orang ramai.
"Ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti produk MyPride serta kejayaan program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia dalam membekalkan kemahiran berguna kepada warga penjara apabila bebas nanti," katanya dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebook Jabatan Penjara Malaysia pada Rabu.
Berikutan itu, Abdul Aziz mengucapkan syabas dan tahniah kepada Seksyen Vokasional dan Industri, Jabatan Penjara Malaysia di atas kejayaan serta pencapaian yang membanggakan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!