Siti Nurhaliza impi menetap di Makkah

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan impian untuk menetap di Tanah Suci Makkah bagi menghabiskan sisa usia suatu hari nanti.
Menurut pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, selain itu beliau berharap tidak perlu lagi untuk menyanyi di atas pentas dan membuat lebih banyak kerja amal.
"Apa pun kita buat, niat kerana ALLAH. Kalau nak menyanyi, saya ingat ALLAH juga. Walaupun saya tahu, ada yang cakap menyanyi ini suara itu aurat, saya serah pada ALLAH.
"Insya-ALLAH saya sentiasa berdoa saya tidak perlu lagi berada di atas pentas menyanyi. Mungkin boleh buat kerja amal, saya nak duduk di Makkah habiskan usia di sana.
"Itu impian setiap orang, saya pun macam itu juga. Apa pun kita merancang ALLAH tentukan," ujarnya.
Perkongsian Siti itu dibuat semasa beliau menghadiri majlis berbuka puasa di Singapura baru-baru ini dan dikongsikan beberapa pengguna media sosial menerusi laman TikTok.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, selain itu antara lain harapAnnya adalah dikurniakan khusnul khatimah.
"Akhirnya kita minta khusnul khatimah. Seseorang itu dinilai bukan awalnya tetap pengakhirannya jadi sama-sama kita doakan dapat khusnul khatimah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!