Agong pilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri

Muhyiddin ketika ditemui media di kediaman beliau hari ini. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Muhyiddin ketika ditemui media di kediaman beliau hari ini. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Pelantikan tersebut diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Paduka Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin sebentar tadi.

Menurut Ahmad Fadil, Istana Negara hari ini telah menerima senarai pencalonan nama bakal Pedana Menteri daripada ketua parti poltik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Katanya, proses itu adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas diminta untuk mengemukakan pencalonan nama sebagai bakal Perdana Menteri.

"Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta ahli Dewan Rakyat yang bebas.

"Pada hemat Seri Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majariti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (P143).

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan sebentar tadi.
Kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan sebentar tadi.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadil memaklumkan bahawa proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 jam 10.30 pagi di lstana Negara.

Menurutnya, Seri Paduka bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

"Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan keselamatan dan pihak media," katanya.