Pensyarah sambilan UMK maut

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
A
A

TANAH MERAH - Seorang pensyarah sambilan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri di hadapan Gudang Ang Kim Lim di sini, malam tadi.

Mangsa Mohd Razali Che Hamid, 56, dipercayai dalam perjalanan dari Klewek ke bandar Tanah Merah.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Mohd Razali yang menunggang motosikal berseorangan, turut membawa bersamanya dua ekor ayam hidup.

Mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas di atas jalan menghala ke bandar Tanah Merah.

Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke unit forensik Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Suzaimi Mohamad mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.