Sinar Harian terima penghargaan Polis Selangor

SHAH ALAM - Wartawan Sinar Harian antara dua pengamal media yang menerima sijil penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Peringatan Polis ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Sinar Harian yang diwakili wartawan jenayah, Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki menerima sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan.
Selain itu, turut sama menerima sijil adalah wartawan 999, Areesya Khalim serta empat individu lain terdiri daripada wakil syarikat swasta serta orang perseorangan.
Muhammad Aminnuraliff berkata, pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi juga satu amanah dan tanggungjawab yang semakin besar.
"Terima kasih kepada PDRM atas penghormatan ini, saya amat menghargai dedikasi warga PDRM dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara.
"Penghormatan ini akan dijadikan sebagai peringatan untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan profesionalisme," katanya.

Areesya Khalim pula berkata, pengiktirafan ini adalah satu penghargaan terhadap usaha berterusan khususnya berkaitan jenayah kepada masyarakat.
"Setinggi-tinggi penghargaan juga saya tujukan kepada rakan-rakan seperjuangan, keluarga dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan sepanjang perjalanan saya sebagai seorang wartawan jenayah.
"Penghargaan ini menjadi penyuntik semangat untuk kami terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, memastikan suara masyarakat didengari sambil membantu menyalurkan maklumat tepat kepada umum," kongsinya.
Sambutan peringkat IPK Selangor yang disambut dengan ringkas itu turut memberikan penghargaan kepada seramai 18 pegawai dan anggota yang mempamerkan kecemerlangan sepanjang bertugas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

