Angkatan Muda Harapan janji 'balas budi' BN di Ayer Kuning

TAPAH - Angkatan Muda Harapan Perak menyatakan kesediaan membantu calon Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini.
Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, tidak mengira siapa calon yang diketengahkan, barisan kepimpinan itu akan memberikan sokongan penuh dengan menggerakkan seluruh jentera turun berkempen.
"BN telah membantu Pakatan Harapan (PH) dalam PRK sebelum ini termasuk di Pulai, Kuala Kubu Bharu dan Mahkota.
"Kini tiba masanya kami membalas kepercayaan tersebut dengan memastikan kemenangan di Ayer Kuning, sekali gus memperkukuh kestabilan politik negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bertujuan mengatur gerak kempen secara menyeluruh di lapangan dan di media sosial.
Katanya, selain itu, Angkatan Muda Harapan turut melantik Ketua Pemuda Amanah negeri sebagai pengarah pilihan raya bagi angkatan itu dibantu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).
"Ini antara langkah strategik yang dilakukan bagi memastikan kemenangan.
"Dalam siri kempen nanti, kita juga mahu setiap lapisan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenai calon dan hala tuju kerajaan Perpaduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!