'Beli 30 pesawat Boeing tiket PM bercakap dengan Trump?' - Gerakan

Dr Dominic.
Dr Dominic.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan sama ada keputusan Malaysia Airlines (MAS) membeli 30 pesawat Boeing adalah sebahagian daripada strategi pemodenan jangka panjang atau sekadar langkah untuk memudahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, bekas Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Nazri Aziz mengesahkan bahawa Anwar telah beberapa kali cuba menghubungi Trump tetapi gagal.

Kini, ujarnya, MAS tiba-tiba membuat pembelian besar daripada Boeing, mencetuskan persoalan tentang kemungkinan kaitan antara kedua-dua perkara ini.

"Saya benar-benar berharap pembelian pesawat Boeing ini adalah untuk masa depan MAS, bukan pertukaran untuk bercakap dengan Trump," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Namun, ujarnya, dalam keadaan ekonomi semasa, adakah pembelian itu satu keputusan yang munasabah.

"MAS mencatat keuntungan pertama sejak 2010, dengan RM766 juta pada 2023, tetapi laporan kewangan 2024 dijangka kurang memberangsangkan.

"Malah, menurut laporan The Edge, selepas keuntungan pada 2023, MAS mungkin kembali mengalami kerugian," ujar Dr Dominic Lau.

Lebih membimbangkan, ujarnya, Pengarah Urusan Kumpulan MAS, Datuk Izham Ismail, mengakui bahawa faktor muatan penumpang merosot sebanyak 18 peratus pada suku terakhir 2024, menjejaskan keuntungan syarikat.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, Gerakan menyokong visi kerajaan dalam membangunkan MAS, tetapi perancangan rapi diperlukan agar ia tidak menjerumuskan syarikat ke dalam krisis kewangan sekali lagi.

"Pembelian besar seperti ini harus berdasarkan keperluan sebenar, bukan agenda tersembunyi yang tidak mahu diketahui rakyat.

"Lebih penting lagi, PM masih gagal membuktikan sama ada audit forensik terhadap Sapura Energy Berhad telah dijalankan atau tidak," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!