Hong Kong tingkat pengalaman pelancongan mesra Muslim

SHAH ALAM - Hong Kong terus berkembang sebagai destinasi mesra Muslim dengan peningkatan perkhidmatan dan kemudahan untuk memenuhi keperluan pelancong.
Usaha itu memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong beragama Islam untuk menikmati percutian yang lebih bermakna.
Pengarah Wilayah Asia Tenggara Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB), Liew Chian Jia berkata, sehingga Februari 2025, sebanyak 52 hotel di Hong Kong telah menerima penarafan Crescent Rating’s (CR) berdasarkan kemudahan mesra Muslim yang disediakan.
Menurutnya, hasil daripada pembaharuan tersebut, jumlah pelancong dari Indonesia dan Malaysia masing-masing telah mencatatkan peningkatan sebanyak 43 peratus serta 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tambah beliau, kini terdapat 153 restoran halal dan jumlah itu terus meningkat sekitar 100 restoran Halal sejak HKTB mula melancarkan inisiatif mesra Muslim pada Jun 2024.
“Salah satu pencapaian penting dalam inisiatif HKTB ialah peningkatan jumlah hotel yang menerima akreditasi daripada CR sebuah badan penarafan antarabangsa bagi pelancongan Muslim.
“Hong Kong juga telah memperluaskan pilihan restoran yang disahkan Halal oleh Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong (Board of Trustees).
“Permintaan yang semakin meningkat ini dijangka menggalakkan lebih banyak perniagaan tempatan untuk menyertai inisiatif ini dan menjadikan Hong Kong sebagai destinasi mesra Muslim lebih menarik,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Chian Jia, menerusi kerjasama dengan penggiat industri pelancongan tempatan dapat meningkatkan pemahaman mengenai keperluan pelancong Muslim melalui program latihan dan proses akreditasi.

Tambah beliau, HKTB akan terus memberi tumpuan kepada pasaran utama pelancong Muslim seperti Indonesia dan Malaysia serta meningkatkan usaha promosi untuk menampilkan Hong Kong sebagai destinasi pilihan bagi pelancong beragama Islam.
Jelasnya, pelancong Muslim yang ingin merancang perjalanan perlu merujuk laman sesawang HKTB untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kemudahan dan perkhidmatan serta tarikan mesra Muslim.
“Usaha ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelancong Muslim tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai keperluan Halal dalam kalangan pengusaha pelancongan tempatan.
“Dengan pengiktirafan yang semakin meningkat dan sambutan positif daripada pelancong Muslim, Hong Kong berada di landasan yang tepat untuk menjadi destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka di rantau ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
