Bas rempuh treler, 20 pelancong China cedera ringan

NILAI - Seramai 20 pelancong warga China cedera ringan selepas bas persiaran dinaiki mereka kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 43 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan di sini pada Sabtu.
Kejadian jam 8 pagi itu berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Singapura.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati, bas berkenaan dipandu lelaki berusia 46 tahun bersama 20 penumpang warga China dan seorang warga tempatan.
"Bas itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Singapura bersama 20 penumpang warga China dan seorang warga Malaysia sebagai jurubahasa.
"Namun bas terbabit dipercayai telah melanggar belakang treler yang ketika itu sedang mendaki di lorong kiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan pemandu bas mengalami cedera parah dan kesemua penumpang bas cedera ringan.
Tambahnya, pemandu treler berusia 51 tahun turut mengalami cedera ringan dan kesemua mereka telah dihantar menerima rawatan di Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Abdul Malik berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor, Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

