PRN Sabah: Keputusan kerjasama GRS selepas Aidilfitri

Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan
Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU – Keputusan sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentuk kerjasama dengan gabungan lain akan ditentukan dalam mesyuarat yang dijadualkan selepas Aidilfitri ini, kata Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi GRS berkata, gabungan itu ketika ini mempunyai dua pilihan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

"Kita sudah menghantar cadangan pembahagian kerusi, semua ada formula tetapi belum dibincangkan. Jadi, kita tunggu mesyuarat selepas Hari Raya untuk membincangkannya.

"Memang kita ada beberapa pilihan. Pilihan pertama adalah semua kerusi ditandingi GRS.

"Pilihan kedua adalah GRS Plus. Namun, ia belum diputuskan, tetapi sudah tentu kita mahu GRS menjadi dominan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pejabat Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Luyang, di sini, pada Jumaat.

GRS kini terdiri daripada lapan parti gabungan, iaitu STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ditanya mengenai sasaran kerusi yang akan ditandingi STAR, Jeffrey yang juga Presiden parti itu memaklumkan mereka terbuka untuk bertanding di semua kawasan, termasuk Luyang yang mempunyai majoriti pengundi daripada masyarakat Cina.

"Namun, ia bergantung kepada potensi kemenangan dan keputusan akan dibuat kemudian.

"Saya yakin, kini komuniti Cina lebih cenderung memilih parti tempatan. Oleh itu, kita boleh menjadi lebih kuat seperti Sarawak serta bekerjasama dalam mencapai aspirasi mendapatkan hak-hak istimewa Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!