Tun M tak halang Bersatu calonkan Muhyiddin PM: Mohd Redzuan

Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Yusof hadir ke rumah kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Yusof hadir ke rumah kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

BUKIT DAMANSARA - Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak dihalang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, perkara itu turut diulangi oleh Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berulang kali.

"Tun (Dr Mahathir) tidak menghalang (calonkan Muhyiddin). Sebenarnya dia kata dia tidak ada halangan dan dia telah berkali-kali dalam kenyataan dia tidak ada halangan," katanya ketika ditemui di kediaman Muhyiddin di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan terbaharu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk A Kadir Jasin yang mengatakan bahasa pencalonan Muhyiddin tidak dipersetujui semua MPT parti itu.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, mesyuarat parti yang berlangsung pagi tadi jelas menunjukkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu telah mendapat sokongan solid.

"Kalau Datuk A Kadir mengatakan tidak, kita baru habis mesyuarat pagi tadi dan kenyataan rasmi telah pun dikeluarkan Setiausaha Agung (Bersatu).

"Jadi, kalau nombor (jumlah sokongan) itu tidak solid saya tidak tahu lagi macam mana jadi (dianggap) solid," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas tindakan Dr Mahathir yang dikatakan keluar awal sebelum Mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu di Yayasan Al-Bukhary selesai, Mohd Redzuan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tindakan berkecuali.

Artikel Berkaitan:

"Macam saya, kalau ia melibatkan diri saya sendiri, saya akan mengambil sikap berkecuali kerana ia melibatkan diri saya.

"Tidak adil untuk saya duduk di sana jika ia melibatkan diri saya," katanya.