Enam stesen pemancar telekomunikasi 5G di Johor terjejas akibat banjir

Keadaan rumah dan jalan raya yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau berikutan hujan beterusan sejak 19 Mac. Foto Bernama
Keadaan rumah dan jalan raya yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau berikutan hujan beterusan sejak 19 Mac. Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Sebanyak enam stesen pemancar telekomunikasi 5G di Johor telah terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata, lima daripadanya, melibatkan stesen pemancar di daerah Johor Bahru dan satu di Pontian.

"Semua stesen pemancar 5G ini terjejas akibat bekalan elektrik yang terhenti, namun begitu ia tidak mengganggu perkhidmatan 4G.

"Justeru, situasi ini akan terus dipantau dan kita percaya stesen tersebut akan dapat beroperasi semula selepas bekalan kembali pulih,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewanraya Taman Senai Utama, di sini semalam.

Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil inisiatif menyediakan Wi-Fi percuma di PPS yang mempunyai jumlah mangsa yang ramai di Sabah, Sarawak dan Johor.

"Secara keseluruhan empat PPS di Sabah telah dipasang Wi-Fi, sementara 12 di Sarawak dan dua di Johor.

"Di Johor membabitkan Dewanraya Taman Senai Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, sementara dua lagi akan dipasang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang dan Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dianggarkan lapan juta Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) amaran awal bencana telah dihantar oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna setakat November 2024 sehingga 10 Februari.

"Pada November sahaja sebanyak 2.7 juta SMS telah dihantar, sementara Disember 4.1 juta, sejuta pada Januari dan 13,700 setakat 10 Februari.

"Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang telah membantu kerajaan menghantar amaran awal bencana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nie Ching turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil berat amaran yang telah diberikan, bagi mengelakkan dari sebarang kejadian tidak diingini.

Terdahulu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menyerahkan sumbangan berupa tilam dan kerusi malas di PPS Dewanraya Taman Senai Utama yang menempatkan seramai 136 orang mangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!