Penjawat awam perlu bersemangat patriotik, integriti dan taat setia - KSN

SEREMBAN - Penjawat awam perlu mempunyai semangat patriotik, integriti serta taat setia kepada negara dan kerajaan dalam mencapai reformasi perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, integriti merupakan asas yang perlu ada dalam setiap tindakan diambil kakitangan awam dengan bersikap jujur, telus dan bertanggungjawab.
"Penjawat awam yang berintegriti tidak akan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta sentiasa memastikan kepentingan negara dan rakyat diutamakan.

"Saban hari kita lihat di media dan media sosial banyak isu berkaitan penguat kuasa, jadi dalam kita menjaga sempadan jika tidak ada integriti maka akan bocorlah sempadan negara seterusnya menjejaskan keselamatan juga kedaulatan negara.
"Bukan itu sahaja, di bahagian mana pun kita bekerja, perlu menjaga rahsia dan dokumen kerajaan. Ini semua memerlukan integriti yang tinggi dengan taat setia kepada negara dan kerajaan," katanya pada Jelajah Taat Setia Madani peringkat Negeri Sembilan pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Katanya, nilai taat setia dalam konteks reformasi perkhidmatan awam adalah kunci utama dalam memastikan keberkesanan pentadbiran negara dan kemajuan masyarakat.
Ujarnya, penjawat awam yang setia kepada negara dan prinsip Perlembagaan serta tugas diamanahkan akan mampu memberikan sumbangan besar dalam mencapai objektif negara.
"Melalui sumbangan dan hasil yang tinggi, penjawat awam tidak hanya menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi tetapi juga memegang amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab.
"Untuk itu, saya menyeru semua penjawat awam untuk memperkukuhkan semangat terus setia terhadap negara dan kerajaan serta mengamalkan prinsip-prinsip dan nilai teras madani dalam setiap tindakan Yang diambil," ujar beliau.
Pada masa sama beliau menyeru semua penjawat untuk bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh demi mencapai masa depan negara lebih gemilang, sejahtera dan makmur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

